Perkasa kesejahteraan, pembangunan sosioekonomi komuniti



​​

Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B'

 




BERAKAS, Sabtu, 11 Julai. - Program Sentuhan Ihsan: Menyantuni Komuniti anjuran Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B' diteruskan lagi hari ini menerusi lawatan ke dua buah keluarga di Kampung Sungai Tilong dan Kampung Sungai Hanching bagi mendekati penduduk serta meneliti keperluan mereka secara langsung.


Mengetuai rombongan ialah Penghulu Mukim Berakas 'B', Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, bersama Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching, Pengiran Haji Ruzaini bin Pengiran Haji Shahbuddin, dan Mohd. Sukairi bin Haji Abd. Rahman.


Program berkenaan menjadi platform kepada Pemimpin-pemimpin Akar Umbi untuk berinteraksi secara terus dengan penduduk bagi mendapatkan gambaran mengenai cabaran yang dihadapi, di samping mengenal pasti potensi yang boleh diperkembangkan melalui kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.


Semasa lawatan tersebut, rombongan mendapati salah seorang ahli keluarga yang disantuni mempunyai kemahiran menghasilkan kuih-muih sebagai sumber pendapatan. Sehubungan itu, Penghulu Mukim Berakas 'B' menyarankan agar perusahaan berkenaan didaftarkan di bawah Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) bagi membolehkan pengusaha berkenaan meneroka peluang mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat serta sokongan pembangunan perusahaan daripada pihak-pihak berkaitan.


Program Sentuhan Ihsan merupakan antara inisiatif Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B' yang dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuhkan hubungan antara Pemimpin-pemimpin Akar Umbi dengan penduduk, di samping mengenal pasti keperluan serta potensi masyarakat yang boleh diperkasakan ke arah meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi komuniti.

Close